KUALA LUMPUR – Teka teki terjawab, penyanyi Hafiz Suip mengesahkan dia menolak tawaran menyertai program Gegar Vaganza (GV) Fantasia yang bermula hari ini.
Menurut pemilik nama penuh Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 34, keputusan sukar itu terpaksa diambil kerana tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya selain perlu menumpukan perhatian kepada isterinya, Fiona Saffiyya yang kini sarat hamil.
“Apa yang saya boleh katakan, amat menghampakan peminat di luar sana apabila saya tidak menyertai GV Fantasia. Salah satu sebabnya, saya tak berani nak beri komitmen separuh jalan.
“Sekarang ini isteri sedang sarat mengandung. Saya pula, kalau bekerja memang akan sentiasa berikan 100 peratus.
“Jadi, saya bimbang situasi sekarang akan mengganggu fokus saya kalau sertai pertandingan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran dan Pengumuman calon Anugerah Bintang Popular di sini, semalam.
Mengulas mengenai desakan ramai termasuk rakan-rakan penyanyi yang mahu melihatnya beraksi di pentas pertandingan tersebut, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu mengakui kekangan lokasi tempat tinggal iaitu di Kuching, Sarawak dan jadual sesi latihan yang mungkin padat menjadi faktor penghalang.
“Alhamdulillah saya memang dapat tawaran tetapi saya minta maaf. Bukan menolak rezeki, malah kawan-kawan pun ada tanya kenapa tak sertai.
“Masalahnya timbul dari segi sesi latihan. Nanti orang lain praktis, saya pula di Kuching dan perkara itu akhirnya jadi kekangan besar untuk diri saya,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut mengenai isterinya yang kini hamil tujuh bulan, dia tanpa berselindung memberitahu bakal menimang cahaya mata lelaki.
“Sekarang alhamdulillah, usia kandungan isteri saya dah masuk tujuh bulan. Jantina adalah lelaki.
“Lelaki lagi tetapi apa-apa pun yang paling penting anak dalam kandungan sihat dan segalanya berjalan dengan lancar, itu sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan faktor utama dia memilih untuk terus menetap di Kuching, Sarawak berbanding berpindah ke Kuala Lumpur adalah untuk menemani bapanya yang tinggal bersendirian.
“Satu lagi sebab adalah ayah saya. Dia sihat cuma tinggal seorang diri.
“Saya pernah bawa dia ke Kuala Lumpur, tetapi dia lebih selesa di sana kerana banyak memori.
“Bagaimanapun alhamdulillah, keadaan ayah sekarang semakin baik dan dia menyibukkan diri bersama adik-beradik serta ibunya yang masih ada,” jelasnya yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular ABP38.
Terdahulu, nama Hafiz antara yang menjadi sebutan ramai sebagai antara empat lagi penyanyi yang akan menyertai GV Fantasia.
GV Fantasia tahun ini menghimpunkan barisan pemenang dari program Akademi Fantasia dan antara yang sudah mengesahkan tempat ialah Mawi, Vince, Faizal, Shahir dan Mila Jirin.
Empat lagi peserta ialah Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir. – KOSMO! ONLINE
















