fbpx
Mohamad Amin ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuantan pada tahun lalu.

Rayuan bekas Majistret ketepi hukuman penjara, denda RM1.05 juta ditangguh lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 3 Disember ini bagi pendengaran rayuan bekas Majistret berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1.05 juta bagi enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas peguam Nor Shahid Abd. Malik yang mewakili Mohamad Amin Shahul Hamid, 43, selaku perayu memaklumkan pihaknya masih meneliti fakta kes selain memberi peluang kepada pihak pembelaan membuat persediaan sewajarnya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy.

Terdahulu, Hakim Muniandy bertanya mengapa pihak pembelaan dilihat seolah-olah tidak bersedia berikutan peguam itu tidak dapat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan mengenai isu-isu yang dibangkitkan berhubung hukuman tersebut.

“Kamu (peguam) nampak tidak bersedia, sedangkan ini rayuan terakhir anak guam kamu,” kata Muniandy.

Mendengar perkara itu, peguam tersebut memaklumkam, beliau baru mengambil alih kes berkenaan di peringkat rayuan dan memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi meneliti semula hujahan bertulis.

Namun permohonan penangguhan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin atas alasan kes tersebut sudah beberapa kali ditangguhkan.

“Saya bukan tiada perikemanusiaan Yang Arif, tetapi kes ini sudah beberapa kali ditangguh. Mungkin pihak peguam boleh diberi masa selama satu jam untuk bersedia,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan penangguhan tersebut.

Pada 17 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang bekas majistret yang disabitkan bersalah atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Hakim Datuk Mohd. Radzi Harun memutuskan demikian selepas menolak rayuan Mohamad Amin dan mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen.

Hakim turut mengarahkan Mohamad Amin menjalani semua hukuman penjara itu secara serentak selama 12 tahun dan membayar denda bermula hari ini.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tambahan selama 72 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Amin yang bertugas sebagai majistret di Raub dan Lipis didakwa meminta suapan RM100,000 dan menerima RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo pada 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh mengenakan hukuman denda, bukannya penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN