PENDUDUK melihat kemusnahan yang berlaku selepas tentera melancarkan serangan udara ke atas sebuah pasar dan jambatan di Kyauktaw, Rakhine Barat semalam. – AFP

Tatmadaw bom pasar, 33 terbunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KYAUKTAW  –  Serangan udara tentera ke atas sebuah pasar di barat Myanmar membunuh 33 orang semalam dan mencederakan 36 lagi, kata kumpulan pemisah yang menguasai kawasan itu.

Tentera Arakan(AA) berkata,  jumlah kematian akibat serangan sekitar tengah hari (1.30 tengah hari waktu Malaysia)  di sebuah pasar dan jambatan bersebelahan di bandar Kyauktaw, negeri Rakhine itu ‘mungkin terus meningkat’.

Seseorang saksi enggan dikenali atas faktor keselamatan melihat lebih 30 mayat di tempat kejadian petang semalam dengan cebisan anggota badan manusia jelas kelihatan di antara runtuhan yang masih berasap dan jalan berlubang.

Tentera Myanmar atau dikenali sebagai Tatmadaw  tidak dapat dihubungi untuk memberikan  ulasan.

Seorang saksi kejadian dikenali sebagai Khaing Nu berkata,  adik perempuannya yang berniaga di pasar masih hilang selepas serangan, ketika anggota-anggota bomba berusaha memadamkan api.

“Apabila saya pergi memeriksa tempat adik perempuan saya menjual buah-buahan di pasar, tempat itu mahupun dirinya sudah tiada lagi,” kata wanita berusia 57 tahun itu.

Negeri Rakhine di barat Myanmar menjadi lokasi paling teruk terjejas dalam perang saudara  yang tercetus akibat rampasan kuasa tentera pada tahun 2021.

AA menguasai hampir seluruh Rakhine, kecuali beberapa bandar yang diduduki oleh pasukan tentera yang dikepung.

Namun, pihak tentera mampu mempertahankan diri menggunakan armada jet pejuang buatan Russia dan China.

Tentera Udara Myanmar dituduh melakukan kekejaman dengan menyasarkan orang awam di sekolah, biara dan festival keagamaan dalam serangan yang menurut kumpulan-kumpulan  hak asasi manusia, merupakan jenayah perang.

Hampir setengah juta orang menjadi pelarian di Rakhine akibat konflik tersebut, demikian menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Lebih 100,000 orang terkorban di Myanmar dalam perang saudara sejak rampasan kuasa pada 2021. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN