NAMA Aiman Ikhwan Yahya kini meniti di bibir para peminat sukan olahraga tanah air selepas mencipta rekod baharu 100 meter (m) Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dengan masa 10.40 saat (s).
Catatan itu menjadikan Aiman, 18, sebagai pelari 100m ketiga terpantas Malaysia dalam tahun ini selepas Muhammad Azeem Fahmi (10.20s) dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee (10.32s).
Menariknya, ia turut meletakkan pelari dari Kulim, Kedah itu di ranking kelima terpantas Asia Tenggara ketika ini, di belakang raja pecut Thailand, Puripol Boonson (10.15s).
Tiga lagi pelari di belakang Puripol ialah Azeem, pemenang pingat perak Sukan SEA Kemboja 2023 dari Singapura, Marc Brian Louis (10.31s) dan Danish.
Menariknya, catatan anak didik Mohd. Poad Kassim itu juga telah mengatasi masa pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023, 10.45s yang ketika itu dimenangi Muhammad Haiqal Hanafi.
Jika sebelum ini peminat-peminat bimbang kontinjen negara akan turun ke Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini tanpa kehadiran Azeem yang merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s.
Rata-ratanya gusar ketiadaan pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou itu akan menyaksikan Malaysia tiada pelari yang mampu bersaing dengan Puripol di Bangkok nanti.
Kali terakhir Malaysia meraih emas 100m menerusi Khairul Hafiz Jantan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebelum Haiqal meneruskannya pada edisi Manila 2019.
Sejak itu, status raja pecut Asia Tenggara bertukar tangan kepada Thailand melalui Puripol (Sukan SEA Hanoi 2021) dan Soraoat Dabbang (Sukan SEA Kemboja 2023).
Namun, kegelisahan itu mula menurun selepas melihat perkembangan positif skuad pecut negara menerusi kejayaan Danish meraih pingat gangsa Kejohanan Olahraga Terbuka India baru-baru ini.
Kini, Aiman hadir membawa sinar baharu selepas dia memecahkan rekod MSSM bawah 18 tahun (B-18), 10.51s dicipta Danish tahun lepas, menerusi catatan 10.40s di Stadium Kangar, Perlis pada Selasa lalu.
Kejayaan itu amat manis buat penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum, Kedah tersebut menebus kekalahannya di MSSM 2024 yang menyaksikannya meraih tempat kedua, tewas kepada Danish.
Tidak keterlaluan juga mengatakan Aiman pasti berada dalam perancangan jurulatih pecut negara menyenaraikan namanya memperkuatkan kuartet 4x100m.
Selain Azeem, buat masa ini Danish, Pengiran Aidil Auf Hajam antara nama tetap kuartet 4x100m berdasarkan ranking semasa dan Aiman mungkin boleh meningkatkan peluang untuk meraih pingat emas acara itu.
Jika Azeem tidak mendapat pelepasan Universiti Auburn ke Sukan SEA Thailand 2025, mungkin Aiman boleh diberikan peluang beraksi 100m bersama-sama Danish.
Ia boleh memberikan pendedahan cukup bermakna buat Aiman dan juga Danish sebagai persediaan buat kedua-dua atlet berusia 18 tahun itu sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.
Terbuka Malaysia di Perlis hujung bulan ini adalah peluang terakhir kepada pelari-pelari lain cuba mengubah kedudukan ranking semasa, dan jika tiada yang berjaya, Aiman hampir pasti beraksi di Sukan SEA Thailand.














