PETALING JAYA – Pegawai penyiasat berpendapat tindakan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin yang membiarkan anak autistiknya itu berjalan di belakang pada hari kejadian kanak-kanak itu hilang adalah satu elemen pengabaian.
Saksi pendakwaan ke-28 Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail, berkata, dapatan itu berdasarkan laporan polis yang dibuat Ismanira Abdul Manaf yang mendakwa dia tidak meninggalkan Zayn Rayyan berseorangan sedangkan ia tidak selari dengan siasatan dilakukan.
Pendakwaan: Semalam ada bersetuju dengan soalan peguam (ketika pemeriksaan balas) mengikut laporan polis dibuat tertuduh OKT 2 (Ismanira) berjalan dan naik motor bersama, dan tidak meninggalkan mangsa keseorangan, ASP bersetuju dengan cadangan peguam, boleh jelaskan kenapa setuju?
Saksi: Hasil siasatan saya mendapati tindakan OKT 2 berjalan di hadapan serta meninggalkan si mati (Zayn Rayyan) yang berada di belakang menyebabkan OKT 2 tidak dapat melihat apa yang berlaku di belakang, seolah-olah membiarkan si mati tanpa pengawasan.
Pada prosiding semalam, ketika pemeriksaan balas pihak pembelaan menyoal Mohd. Hafizee berhubung definisi pengabaian bagi siasatan terhadap kes yang dihadapi oleh anak guamnya.
Pada masa sama, pegawai polis itu turut menafikan dakwaan pihak pembelaan bahawa saksi-saksi yang dipanggil semasa siasatan kes ini telah diarahkan untuk menukar keterangan mereka.
“Semua saksi yang dipanggil tidak pernah diugut atau dipaksa untuk memberi rakaman percakapan, tujuan pihak polis memanggil saksi-saksi beberapa kali untuk mengesahkan beberapa maklumat lain yang diperolehi semasa siasatan,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayya atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, dua tahun lalu.
Keputusan sama ada Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira dilepas atau dipanggil membela diri diakhir kes pendakwaan akan ditentukan Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang telah selesai mendengar keterangan 28 saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan menutup kes mereka selepas Mohd . Hafizee Ismail selesai memberi keterangan termasuk pemeriksaan semula oleh pendakwaan.
Sepanjang prosiding, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023. – KOSMO! ONLINE