PUTRAJAYA- Gangguan kualiti tidur, masalah metabolisme dan peningkatan berat badan serta masalah pencernaan adalah antara komplikasi kesihatan yang mungkin dialami jika seseorang itu meneruskan tabiat lewat makan malam.
Itu pendedahan dibuat Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2024 yang dapatannya dilancarkan hari ini.
Menurut dapatan itu lagi, tabiat makan lewat malam juga mendedahkan seseorang kepada peningkatan risiko penyakit jantung dan berisiko lebih tinggi bagi penyakit diabetes jenis 2.
Dapatan yang dibuat daripada 5,400 responden mendapati, dua daripada lima remaja dan seorang daripada tiga dewasa mengamalkan makan lewat malam beserta makan lewat malam secara berlebihan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika ditemui pada majlis pelancaran tinjauan itu berkata, setiap individu perlu mengelak makan lewat malam kerana kalori makanan akan dibawa bersama ketika tidur.
“Jika kita makan lewat malam, kita bawa kalori itu bersama kita tidur, kita tak burn (bakar kalori) dan ia (kalori) akan bertukar kepada lemak.
“Untuk pengetahuan semua, satu kilogram lemak itu bersamaan dengan 7,000 kalori. Jadi, setiap 7,000 kalori yang kita tak bakar ia akan bertukar kepada lemak.
“Jadi anda kiralah sendiri berapa banyak kita makan malam itu dan berapa lama kita dan buat tabiat ini (makan lewat malam),” katanya. – KOSMO! ONLINE