BUKIT KAYU HITAM – Solat sunat taubat dan hajat menjadi amalan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meraih keputusan cemerlang 11A+ ketika diumumkan hari ini sekali gus memecah rekod sekolahnya sejak enam tahun lepas.
Muhammad Ikhwanul Hakim Noor Azlan, 18, dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kubang Pasu itu memberitahu, kedua-dua solat sunat tersebut dilakukan setiap awal pagi sebelum solat subuh selain turut membaca surah Yasin ketika menduduki peperiksaan.
“Bila masuk tingkatan lima saya tidak pernah ketinggalan meninggalkan solat sunat ini. Semasa peperiksaan, saya baca Yasin selepas maghrib setiap malam. Apa yang saya lakukan adalah untuk memohon daripada Allah SWT supaya hajat saya dimakbulkan.
“Alhamdulillah, saya dapat beri 11 A+ untuk keluarga saya dan sekolah saya yang sudah enam tahun tidak mendapat keputusan seperti ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Muhammad Ikhwanul Hakim merupakan salah seorang daripada 14 calon SPM 2024 yang memperoleh keputusan cemerlang antara 9A+ hingga 11A+ dari seluruh negeri ini.
Anak kepada pesara guru itu berkata, selain mata pelajaran teras dia turut mencabar diri untuk mengambil dua lagi subjek tambahan iaitu Pendidikan al-Quran dan Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.
Jelasnya yang ingin menceburi bidang kecerdasan buatan (AI), selain itu fokus kepada pembelajaran dalam kelas serta sering mengadakan ulang kaji berkumpulan bersama kawan membolehkan dia menguasai hampir semua mata pelajaran tersebut. – KOSMO! ONLINE.