GUA MUSANG – Anak kepada seorang tukang jahit mencipta sejarah apabila menjadi pelajar Orang Asli pertama di Kelantan yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nur Syafienaz Nazri, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya di sini merupakan salah seorang daripada lapan pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang di Kelantan apabila lulus semua mata pelajaran.
Menurut Nur Syafienaz yang merupakan Orang Asli suku kaum Temiar, kejayaan dalam SPM adalah berkat bantuan daripada guru sekolah, keluarga dan rakannya-rakannya.
Katanya, dia bersyukur dapat membuktikan kepada orang ramai bahawa komuniti Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman juga boleh mencipta kejayaan dalam bidang pendidikan sekiranya rajin berusaha.
“Perkara utama untuk saya adalah untuk membuktikan Orang Asli juga boleh berjaya dalam pelajaran.
“Saya juga ingin mengubah nasib keluarga kerana ibu saya hanya seorang tukang jahit di kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan sudah banyak berkorban menyara saya bersama tiga beradik yang lain,” katanya ketika ditemui di SMK Panggung Jaya di sini hari ini.
Nur Syafienaz yang tinggal di Kampung Merlong, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis berkata, rahsia kejayaannya adalah dia sentiasa mengutamakan perintah Allah SWT dalam kehidupannya.
Katanya, selain itu, dia juga sentiasa fokus di dalam kelas dan mengikuti kelas tambahan yang diadakan di sekolah.
“Saya memilih untuk tinggal di asrama walaupun rumah saya hanya 25 minit dari sekolah kerana tidak mahu menyusahkan ibu.
“Saya bercita-cita ingin menjadi guru Bahasa Inggeris dan berhasrat untuk menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UITM) dalam program Asasi Bahasa Inggeris,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Siti Norsyakila Kamarzaman, 36, bersyukur dan tidak menyangka anak sulungnya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan mencipta sejarah menjadi anak Orang Asli pertama di Kelantan mendapat 8A. -KOSMO! ONLINE.