TUMPAT – Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan di sini membuktikan kecacatan kudung kedua-dua belah jarinya bukan penghalang untuk berjaya apabila memperoleh keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Aishah Isham Nudin, 18, calon berkeperluan khas yang memperoleh 5A (2A dan 3A-) 3B (1B, 2B+) 1C+ itu tekad melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus mahu mengubah nasib keluarga.
Menurutnya, dia mahu membalas jasa ibu Suriati Mohd. Harun, 47, yang telah membanting tulang dengan sebagai bekerja sebagai pembantu kedai bagi memastikan pelajarannya tidak terabai.
“Jodoh ibu dan ayah tidak panjang apabila mereka bercerai semasa saya berusia dua tahun. Sejak itu, ibu yang banyak bekorban untuk saya mendapat pelajaran sebaik mungkin.
“Ayah sudah meninggal dua tahun lalu dan saya mempunyai seorang kakak yang sudah berumah tangga,” katanya.
Aishah yang merupakan anak bongsu dari dua beradik itu memberitahu, ketiadaan jarinya membuatkan dia terpaksa berhenti seketika selama lima minit bagi membolehkan tangannya berehat sepanjang menduduki SPM akibat lenguh.
Katanya, dia kemudian kembali menyambung menjawab soalan dan situasi tersebut sama sekali tidak menjejaskan tumpuannya. -KOSMO! ONLINE.