PUTRAJAYA- Sejumlah 1,789 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada peperiksaan itu bermula 2 Disember hingga 6 Februari lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun 2023 yang merekodkan sebanyak 1,470 calon.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan analisis menyeluruh berhubung faktor signifikan yang menyebabkan berlakunya kegagalan kepada calon-calon ini.
“Antara faktor yang menyumbang kepada hal ini termasuklah calon yang tidak memberikan fokus kepada proses pembelajaran selain sebahagian besar mereka ini bekerja pada waktu malam terutama calon di kawasan bandar.
“Ada sedikit juga calon yang menghadapi masalah literasi dan numerasi yang tidak ditangani lebih awal sekurang-kurangnya sokongan daripada persekitaran pembelajaran di rumah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2024 di sini hari ini.
Azman berkata, isu-isu yang berkaitan dengan kekeluargaan turut memberi kesan besar kepada pencapaian murid-murid.
Untuk itu, katanya, KPM sedang
menilai pendekatan untuk kumpulan itu bagi SPM 2025 terutamanya memperkukuhkan program pemulihan berkaitan dengan keupayaan anak-anak untuk menganalisis.
JeIas beliau, ini termasuk memperluaskan inisiatif sokongan akademik yang bersasar, mengaktifkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan komuniti untuk membantu murid khususnya murid-murid berisiko tinggi.
“Intervensi lanjutan ini penting untuk mengelakkan keciciran akademik berulang dalam kalangan murid yang memerlukan bantuan khas.
“Daripada keputusan ini kita akan berikan fokus untuk tahun 2025 supaya kita dapat bersedia lebih awal bagi menangani kemungkinan berlakunya isu-isu berulang seperti ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE