fbpx

SPM 2024: 239 calon di P. Pinang tidak hadir periksa sebab sudah bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Sajiri (kiri) ketika pengumuman keputusan SPM 2024 bagi peringkat negeri Pulau Pinang di JPN, Bukit Gambir, hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 239 daripada 17,417 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini dilaporkan tidak hadir menduduki peperiksaan itu atas alasan sudah bekerja.

Perkara tersebut didedahkan Pengarah Pendidikan Negeri, Wan Sajiri Wan Hassan pada Sidang Media Pengumuman Keputusan SPM 2024 Negeri Pulau Pinang di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di sini, sebentar tadi.

Menurut beliau, jumlah ketidakhadiran pelajar tersebut didapati berkurangan berbanding yang direkodkan pada SPM 2023 iaitu sebanyak 338 calon.

“Hasil kajian yang dilakukan mendapati faktor utama calon tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2024 yang bermula 2 Disember tahun lalu itu kerana kebanyakan mereka telahpun bekerja.

“Mereka didapati kurang berminat untuk menduduki peperiksaan dan rekod ketidakhadiran mereka ke sekolah juga lebih banyak daripada jumlah yang hadir ke sekolah,” katanya di sini.

Dalam pada itu, katanya lagi, pada tahun ini pihak JPN komited menjalankan program intervensi bagi mengurangkan jumlah pelajar tidak hadir menduduki SPM 2025.

“Kita berusaha untuk mengurangkan jumlah pelajar tidak hadir dan menarik mereka kembali ke sekolah. Program Jom SPM ini melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta komuniti dan kariah di Pulau Pinang,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 819 daripada 19,253 calon SPM 2024 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.

Beliau berkata, peratus pencapaian layak sijil bagi tahun ini adalah 93.67 peratus iaitu peningkatan sebanyak 1.03 peratus berbanding 92.64 pada 2023.

“Seramai 819 calon SPM 2024 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A berbanding 755 orang pada tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 4.77 peratus.

“Manakala keseluruhan seramai 16,090 daripada 17,417 calon layak menerima sijil SPM bagi tahun ini melibatkan 30 buah sekolah di negeri ini,” katanya.

Bagi gred purata negeri (GPN) bagi tahun ini adalah 4.39 iaitu peningkatan 1.11 peratus berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.

Di Pulau Pinang, tiga sekolah yang mencatat kecemerlangan dalam keputusan SPM 2024 adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al- Irshad di Kepala Batas diikuti SMK Bukit Jambul dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI