LENGGONG – Seorang lelaki terpaksa menghabiskan masa selama sembilan tahun dengan terlantar di atas katil gara-gara penyakit gout kronik yang dialami sejak 2016.
A. Pragalathan, 49, dari Kampung Sira di sini, berkata, apa yang menyedihkan apabila dia juga terpaksa menanggung kesakitan di kedua-dua belah tangan dan kaki sehingga membataskan pergerakannya.
“Sudah sembilan tahun saya begini dan hanya dijaga oleh ahli keluarga. Setiap saat juga saya rasa sakit, tapi terpaksa tahan. Malah, saya sukar untuk tidur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sira di sini baru-baru ini.
Ekoran keadaan fizikalnya yang semakin kronik, bekas pengawal keselamatan itu mengakui banyak menghabiskan masa dengan bertemankan telefon bimbit dan hanya mampu memerhati keadaan di luar rumah menerusi pintu dari atas katil.
Katanya, situasi paling perit apabila cecair gout sentiasa keluar dari bahagian membengkak di kaki dan tangannya walaupun sudah dibalut dengan kain.
“Dalam sehari kain balutan ini boleh basah. Saya berbelanja banyak untuk membeli kain balut ini. Sebulan saya dapat RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hampir sebahagian besar duit ini digunakan untuk itu,” katanya.
Bagaimanapun, Pragalathan tetap bersyukur memandangkan semua ahli keluarga sentiasa membantunya membuat balutan baharu bagi mengelak bau busuk dan risiko jangkitan lain.
“Memang tidak selesa dan sangat sakit. Jika ada yang sudi membantu dan ada kepakaran dalam proses membalut (dressing), saya mohon sangat petolongan mereka,” jelasnya.
Setakat ini, katanya, dia hanya perlu disiplin dalam hal pemakanan bagi memastikan luka goutnya cepat sembuh.
Dalam pada itu, orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08218-41-00003152-8 atas nama Pragalathan a/l Avali atau menghubunginya di talian 011-3012 8718.