PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau akan terus berjuang untuk membersihkan nama dan mempertahankan maruahnya berhubung sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq menerusi hantaran di Instagramnya hari ini berkata, beliau telah melalui tempoh siasatan lebih lima tahun oleh beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Bukan satu, bukan dua, semua datang siasat. Tapi saya tak tunduk, saya tak lari, saya tak jual diri demi kuasa atau kekayaan kerana saya cinta Malaysia lebih dari nyawa sendiri,” katanya.
Syed Saddiq turut menegaskan bahawa segala dana yang dikaitkan dengannya digunakan sepenuhnya untuk tujuan parti dan bukan untuk kepentingan peribadi.
Ia merujuk kepada dakwaan berkaitan RM1 juta yang dikeluarkan dari akaun parti, dan beliau menyatakan bahawa tidak sesen dana itu digunakan untuk kepentingan peribadi.
“Semuanya digunakan untuk program parti. Tahun 2018 pula, mereka kata saya salah guna dana kempen, tapi kami buktikan dengan resit kepada SPR (Suruhanjaya Plihan Raya) bahawa saya sendiri belanja lebih RM170,000 duit sendiri untuk kempen,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan logik tuduhan kononnya beliau mengambil RM120,000, sedangkan sebelum ini beliau telah menolak dua tawaran biasiswa penuh ke Universiti Oxford yang bernilai lebih RM1 juta.
“Kalau betul saya nak jadi korup, saya tak akan tolak tawaran biasiswa tu. Saya ulang, saya tolak RM1 juta untuk ambil RM120,000? Itu bukan rasuah, itu fitnah,” tegasnya.
Syed Saddiq berkata, segala fakta dan hujah telah pun dibentangkan di mahkamah dan kini beliau menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan dan para hakim yang mulia.
“Saya berjanji walau apapun keputusannya, saya kena hormat institusi kehakiman negara. Kerana cinta kepada negara tak boleh bersyarat, kerana perjuangan untuk memperkukuhkan institusi tak boleh pilih waktu.
“Doakan saya, doakan kebenaran kerana saya percaya yang benar tetap akan menang,” katanya.
Keputusan rayuan Syed Saddiq dijangka akan menjadi tumpuan nasional apabila ia diumumkan kurang dua bulan dari sekarang iaitu pada 25 Jun 2025. – KOSMO! ONLINE