CYBERJAYA – PT Bio Asia Sdn Bhd (PT Bio Asia) yang terlibat dalam sektor bioteknologi menjadi syarikat ketiga yang mendapat sokongan Kumpulan Leave a Nest untuk dibangunkan di negara ini dalam usaha menggalakkan lebih banyak syarikat pemula dari luar negara meneroka pelbagai industri di negara ini.
Leave a Nest yang memiliki anak syarikat di Malaysia, Singapura, Filipina, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah menyediakan satu platform yang kini semakin berjaya untuk membawa syarikat pemula dari Jepun berkembang di pasaran Malaysia.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leave a Nest Co Ltd, Dr. Yukihiro Maru berkata, melalui kerjasama pihaknya, PT Bio Asia mahu menjadikan Malaysia sebagai pasaran berpotensi di luar Jepun untuk mengembangkan kepakarannya dan mempercepatkan penyelidikan dalam teknologi gen yang akan digunakan pakai dalam industri penternakan khususnya dalam segmen telur ayam di negara ini.
Syarikat induknya, PT Bio Co Ltd yang terletak di bandar Higashi-Hiroshima, Wilayah Hiroshima, Jepun itu mengkhusus dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan bahan semula jadi bernilai tinggi yang diperoleh daripada sumber tumbuhan.
Mengulas lanjut mengenai pengoperasian syarikat di Malaysia, Pengarah Rantau Asia PT Bio Inc, Hideaki Itami berkata, antara faktor utama memilih negara ini mengembangkan pasarannya adalah kerana tenaga kerja di sini lebih fasih berbahasa Inggeris dengan kemahiran berkomunikasi yang lebih baik berbanding di negara jiran lain.
“Tahap kemahiran tinggi dalam kalangan tenaga kerja tempatan juga membantu melancarkan lagi perancangan syarikat selain mudah mencari rakan niaga serta institusi pengajian tinggi untuk meneruskan kajian dalam bidang bioteknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran syarikat PT Bio Asia di Center Of Garage di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Itami berkata, melalui kajian dan penyelidikan yang akan dilaksanakan di negara ini dengan syarikat tempatan serta pusat pengajian tinggi, syarikat mengunjurkan untuk menawarkan teknologi gen yang boleh diguna pakai dalam industri peternakan khususnya penghasilan telur yang sesuai dimakan oleh semua orang termasuk mereka yang memiliki alahan.
“Kami jangkakan teknologi ini akan digunapakai dalam industri di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang, ia bermakna kami bakal menghasilkan telur bebas gen ovomucoid (OMV) yang boleh dimakan oleh semua orang termasuk mereka yang alah.
“Bagaimanapun kami bukan syarikat pengeluar telur tetapi syarikat bioteknologi yang akan membantu industri tempatan dalam bidang ini menghasilkan telur bebas OMV yang sesuai untuk semua,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE