KUALA TERENGGANU – Produk makanan dalam tin Pertima Trengganu Sdn. Bhd. (Pertima) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bakal memasuki pasaran Indonesia tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Datuk Wan Adnan Wan Derahman berkata, pengeksportan produk makanan dalam tin ke negara jiran itu adalah antara langkah strategik Pertima untuk menembusi pasaran antarabangsa seiring perancangan syarikat bersempena sambutan ke-60 penubuhannya pada tahun ini.
“Indonesia menjadi pasaran sulung kami di rantau Asia Tenggara dalam usaha kami memperkenalkan produk makanan dalam tin berjenama Pertima ke persada antarabangsa.
“Buat permulaan kami perkenalkan sardin dalam tin sebagai usaha untuk mempromosikan jenama dan mengukuh kedudukannya di pasaran negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran logo sambutan ke-60 PMINT yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Tamadun Islam di sini baru-baru ini.
Wan Adnan berkata, produk sardin jenama Pertima telah melepasi prosedur ketat ditetapkan pihak berkuasa Indonesia untuk memasuki pasaran negara tersebut.
“Vendor-vendor yang akan dilantik untuk memasarkan sardin dalam tin Pertima di negara jiran itu juga telah dikenal pasti dan pihak pengurusan syarikat kini dalam peringkat akhir untuk membuat penghantaran produk ke Indonesia,” jelasnya.
Wan Adnan percaya kualiti dan rasa sardin dalam tin jenama Pertima mampu menambat hati pengguna negara tersebut kerana kualiti produk sardin dalam tin itu sudah bertapak di pasaran tempatan sejak tahun 1972 tidak perlu diragui.
“Ia diproses di kilang milik bumiputera seluas 6,937 meter persegi yang terletak di Kawasan Perindustrian Chendering di sini dan telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Wan Adnan berkata, kilang pemprosesan makanan dalam tin Pertima terbabit juga mempunyai perakuan ISO, Persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) dan Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).
Terang beliau, selain sardin, Pertima juga mengeluarkan produk dalam tin seperti kari ayam, seri kaya, kuah kacang, kuah laksa Terengganu dan sapuan sardin. -KOSMO! ONLINE