SEREMBAN – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung seorang pegawai kanan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti peras ugut penjual lembu hampir RM80,000, empat tahun lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan seramai tiga individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Kita menerima laporan polis berhubung kes pemerasan membabitkan pegawai kanan polis dan salah laku itu dipercayai berlaku ketika beliau bertugas di kontinjen ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki berusia 39 tahun membuat laporan polis mendakwa dia telah didatangi seorang lelaki dipercayai orang tengah kepada pegawai polis berpangkat Inspektor dan meminta wang RM50,000 pada Jun 2019.
Wang berkenaan sebagai jaminan supaya pengadu yang juga penjual lembu tidak dikenakan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) atau POCA kerana pernah ditahan pada Mac, September 2018 atas kesalahan gengsterisme.
Kemudian pada Ogos 2022, penjual lembu itu mendakwa telah didatangi orang tengah itu sekali lagi meminta RM50,000 tetapi pengadu hanya dapat membayar RM30,000.
Pegawai kanan itu juga didakwa telah mengugut pengadu sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada mana-mana pihak, pengadu akan ditembak. – KOSMO! ONLINE