PETALING JAYA – Mahkamah Seksyen di sini hari ini menetapkan 21 Julai ini bagi keputusan ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Keputusan sama ada Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf dilepas atau dipanggil membela diri diakhir kes pendakwaan akan ditentukan Hakim Dr. Syahliza Warnoh yang telah selesai mendengar keterangan 28 saksi sepanjang 20 hari prosiding berlangsung.
“Mahkamah menetapkan keputusan pada 21 Julai ini dan sekiranya tertuduh-tertuduh dipanggil membela diri, perbicaraan bela diri bermula pada hari sama sehingga 24 Julai. Mahkamah turut menetapkan tarikh-tarikh iaitu 23 Mei untuk hujahan bertulis dan 6 Jun bagi hujahan balas kedua-dua pihak,” kata Hakim itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan menutup kes mereka selepas Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd . Hafizee Ismail selesai memberi keterangan termasuk pemeriksaan semula oleh pendakwaan.
Sepanjang prosiding, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Perrbicaraan bermula pada 4 Februari lalu, dengan antara saksi-saksi dipanggil ialah dua saksi kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat Zayn Rayyan dalam keadaan masih hidup serta pengasuh kanak-kanak itu.
Pada perbicaraan itu turut didedahkan rekod perbualan WhatsApp sebelum dan selepas kehilangan kanak-kanak autistik itu yang mana antara perbualan ialah “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je.” “Hang belasah je la sampai puas.” “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”
Untuk rekod, sebelum perbicaraan bermula, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengemukakan bantahan awal bagi membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka atas alasan pertuduhan tersebut cacat kerana tidak memperincikan kesalahan dilakukan.
Pada 13 Mac lalu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan yang dikenakan gerhadap pasangan itu dengan memperincikan lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE!