TOKYO – Tentera Laut Jepun memperkenalkan meriam gergasi baharu yang menggunakan magnet untuk menembak peluru pada kelajuan 9,012 kilometer sejam, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Senjata hipersonik futuristik tersebut ditempatkan di atas kapal perang JS Asuka ketika Jepun mempercepatkan pemodenan pertahanan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu.
Meriam itu digambarkan oleh Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) sebagai sedang menjalani beberapa ujian lanjutan.
JMSDF mengesahkan bahawa komander Armada Pertahanan Diri, Timbalan Laksamana Omachi Katsushi telah melawat kapal perang itu untuk melihat status terkini senjata tersebut.
Senjata mega itu seberat lapan tan dan mempunyai panjang 6 meter.
Menggunakan elektromagnet, ia melepaskan peluru keluli 40 milimeter seberat 320 gram pada sasaran seperti kapal, peluru berpandu dan pesawat, pada 6.5 kali ganda kelajuan bunyi.
Senjata konvensional biasanya menggunakan bahan letupan atau propelan untuk melancarkan peluru, tetapi daya elektromagnet membolehkan meriam tersebut mencapai halaju muncung yang jauh lebih tinggi.
Walaupun meriam biasa mungkin mengendalikan kelajuan peluru sekitar 6,437 kilometer sejam, meriam hipersonik boleh meletupkan peluru lebih cepat daripada 9,012 kilometer sejam.
“Meriam hipersonik menyokong pembangunan kesediaan tempur masa depan Jepun dan postur pertahanan negara,” kata JMSDF. – AGENSI