KUALA LUMPUR – Pelakon Eyka Farhana berdebar menghitung hari untuk bergelar isteri kepada tunangnya iaitu pemain bola sepak, Akhyar Rashid tidak lama lagi.
Menurut Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Wan Sarmizi, 30, persiapan menuju hari bahagia sudah 80 peratus siap.
“Alhamdulillah persiapan semua berjalan lancar. Saya harapan majlis pernikahan saya nanti turut berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Semestinya saya berdebar-debar menanti hari untuk diijabkabulkan. Dalam masa yang sama saya turut rasa teruja untuk bergelar isteri. Perasaan saya bercampur baur ketika ini,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Rizman Ruzaini, di sini, semalam.
Pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu turut menyangkal dakwaan bahawa dia akan melangsungkan perkahwinan secara tertutup.
“Perkara itu tidak benar. Ini adalah majlis perkahwinan. Jadi semestinya saya jemput keluarga daripada kedua-dua belah pihak termasuklah sahabat handai saya. Tetapi jemputan agak terhad,” kongsinya.
Bakal berkahwin dengan seorang pemain bola sepak, kata Eyka dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada seorang atlet dalam masa yang sama tidak akan meninggalkan kariernya sebagai seorang pelakon.
“Sebelum ini pun kami sudah terbiasa dengan perhubungan jarak jauh (PJJ). Akhyar pun tak pernah halang saya untuk terus berlakon malah dia lebih galakkan saya berlakon.
“Selepas kahwin nanti kalau suami terpaksa bermain di tempat yang jauh dari Kuala Lumpur saya akan ikut. Kalau saya ada kerja di Kuala Lumpur saya akan pulang. Kerja sebagai pelakon agak senang kerana kita sendiri yang tentu waktu kerja kita,” katanya.
Terdahulu Eyka dan Akhyar mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos 2024. Namun hanya tiga bulan selepas itu mereka mendedahkan kepada umum.
Pasangan sama cantik sama padan ini dikhabarkan akan melangsungkan perkahwinan awal bulan depan. – KOSMO! ONLINE