BANGKOK – Sebuah supercar Ferrari dan kereta Mercedes-Benz musnah dijilat api dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Sebuah lagi trak pikap Toyota terbalik di tepi jalan dalam kejadian itu di Jalan Borommaratchachonnani, Bangkok pagi semalam.
Menurut perkhidmatan kecemasan, kemalangan berlaku sekitar pukul 2.20 pagi (waktu tempatan).
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Thawi Watthana di samping sukarelawan dari Yayasan Ruamkatanyu berjaya memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira 20 minit.
Dua kenderaan iaitu sebuah Ferrari putih dan Mercedes-Benz hitam musnah dalam kejadian itu.
Siasatan awal sedang dijalankan, manakala polis melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) untuk menyiasat punca pelanggaran.
Seorang cedera dalam kejadian itu. – AGENSI