PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkongsi detik mencemaskan yang dialaminya berdepan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.2 magnitud ketika berada di Istanbul sebelum bertolak ke London, semalam.
Fadillah dalam satu perkongsian di Facebooknya berkata, ketika kejadian, beliau bersama rombongan berada di Lapangan Terbang Istanbul untuk penerbangan ke London bagi meneruskan lawatan kerja di United Kingdom (UK).
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya dan rombongan telah diarahkan untuk keluar dari bangunan Terminal VIP. Gegaran pertama agak kuat dan selepas kira-kira 15 minit kami diminta masuk semula ke dalam bangunan.
“Namun berlaku gegaran kedua yang tidak begitu kuat sejurus kemudian, dan kami diminta keluar bangunan sekali lagi untuk kira-kira 10 minit sebelum dibenarkan masuk semula,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana beliau bersama rombongan selamat tiba di London pada pukul 4 petang waktu tempatan selepas melalui detik mencemaskan.
“Alhamdulillah saya dan rombongan selamat tiba di London dari Istanbul pada pukul 4 petang waktu tempatan, setelah mengakhiri lawatan kerja rasmi di Turkiye.
“Terima kasih kepada semua yang bertanyakan khabar saya dan mendoakan kami susulan gempa bumi yang berlaku di Turkiye. Kami berada di Turkiye selama tiga hari,” katanya.
Kehadirian beliau di London adalah bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga yang diadakan bermula hari ini hingga esok anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK.
Persidangan ini dijangka menyentuh topik berkaitan pemetaan landskap keselamatan tenaga serta usaha mengenal pasti risiko, peluang dan tindakan strategik dalam memastikan keterjaminan tenaga negara selain menjadi platform penting memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan UK.
Terdahulu, kira-kira 151 orang cedera selepas beberapa siri gempa bumi melanda kawasan berhampiran bandar raya terbesar Turkiye, Istanbul, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Beberapa buah bangunan di bandar raya itu turut bergoyang menyebabkan orang ramai meninggalkan apartmen masing-masing untuk menyelamatkan diri.
Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud itu berlaku pada pukul 12.49 tengah hari (waktu tempatan) di Laut Marmara sehingga mencetuskan panik di Istanbul. – KOSMO! ONLINE