WASHINGTON – Sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kediaman di negeri Michigan merakam haiwan kacukan kuda belang dan keldai dikenali sebagai ‘zedonk’, lapor portal berita United Press International (UPI) semalam.
Polis Perbandaran Blackman-Leoni di Michigan berkata, anggota-anggotanya bertindak balas pagi kelmarin setelah menerima aduan orang awam berkenaan haiwan itu menghalang lalu lintas di kawasan Dorrell dan Portage Road.
Mereka kemudian mendapati haiwan itu adalah seekor zedonk.
Zedonk itu terlepas dari sebuah ladang ternak berhampiran.
Menurut polis, ladang itu terkenal kerana menghasilkan pelbagai jenis haiwan kacukan dan anggota-anggotanya tidak percaya pengabaian menjadi punca zedonk itu terlepas.
“Haiwan melarikan diri sekali-sekala dan ini biasa berlaku di ladang penternakan,” kata Pengarah Keselamatan Awam Perbandaran Blackman-Leoni, Darin McIntosh kepada saluran televisyen WILX-TV. – AGENSI