PROGRAM realiti hiburan Big Stage kembali menghangatkan industri hiburan dengan menampilkan ‘all-male-spin-off’ yang bakal menyaksikan 18 peserta kesemuanya lelaki bakal merebut gelaran juara tahun ini.
Mengetengahkan konsep baharu iaitu ‘Big Stage Alpha’ (BSA), peserta akan bersaing secara solo dan berkumpulan.
Penerbit Eksekutif Big Stage, Firdaus Mahadi menjelaskan, peserta musim ini melalui beberapa fasa pemilihan termasuk sesi Grand Final Audition yang ditentukan barisan juri tetap.
“Seramai 18 jejaka sudah diperkenalkan, namun hanya 12 orang akan dipilih selepas konsert minggu pertama sebagai peserta yang bakal bersaing di pentas utama.
“Buat masa ini, peserta dibahagikan secara rawak kepada enam kumpulan sebelum diumumkan layak melangkah sebagai 12 finalis,” katanya.
Tambahnya, sistem pemarkahan dan penyingkiran kali ini juga berbeza daripada musim terdahulu.
“Para peminat boleh mengundi penyanyi kegemaran mereka secara online.
“Undian akan dibuka selama seminggu sejurus selepas persembahan,” ujarnya.
Sementara itu, komposer dan penyanyi, Edry Abd Halim yang bertindak sebagai juri berharap BSA mampu melahirkan kumpulan lelaki seterusnya mencetus fenomena seperti industri muzik Korea Selatan
“Kita tahu kumpulan pop lelaki sentiasa ada ruang dan ‘demand’ di Malaysia.
“Dengan format baharu, BSA sesuai dengan peredaran masa dan saya sudah nampak potensi beberapa peserta untuk bergelar bintang,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peserta yang juga merupakan paling berusia iaitu Syafeek Ikhwan, 37, pula meletakkan harapan untuk berjaya membuat persembahan sehingga ke pentas akhir.
“Kalau boleh saya nak berjaya melakukan persembahan setiap minggu dengan baik hingga ke peringkat akhir dan bergelar juara.
“Mungkin saya paling tua tapi insya-Allah energi akan setara dengan peserta generasi muda lain dan beri yang terbaik.
“Saya harap akan ramai yang sudi untuk menyokong dengan membuat undian sebab undian sangat penting untuk tentukan segala keputusan akan datang,” ujarnya.
Paling muda
Peserta termuda, Afiq Sky yang berusia 18 tahun pula menyifatkan kurang pengalaman dalam bidang nyanyian merupakan cabaran terbesar dirinya.
“Saya rasa gembira dan tercabar kerana semua peserta yang lain lebih berusia dan semestinya mereka ada banyak pengalaman.
“Itu satu cabaran bagi untuk saya lebih tonjolkan diri sepanjang program ini.
“Saya kena paksa diri saya untuk buat dengan lebih baik daripada sebelumnya. Saya juga akan lebih banyak dengar dan memberi dengan apa yang juri mahukan,” jelasnya.
Sementara itu, penyanyi Elly Mazlein dan Rina Nose sekali lagi dipilih mengemudi Big Stage Alpha tahun ini.
Manakala penyanyi Datuk Syafinaz Selamat, Hael Hussaini dan Edry pula duduk di kerusi juri tetap.
Big Stage Alpha akan bersiaran menerusi Astro Ria (saluran104) secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam bermula 27 April ini, setiap Ahad pukul 9 malam.