DEMI watak Malik dalam filem aksi pertama lakonannya, Blood Brothers: Bara Naga, bintang naskhah filem Tamil tanah air, Irfan Zaini sanggup menahan sakit cedera di wajah dan dihempap almari.
Irfan, 30, berkata, pengorbanannya melakukan aksi lagak ngeri sendiri berbaloi apabila melihat hasil dan sambutan luar biasa penonton.
“Saya alami kecederaan di muka, ada berdarah ketika cota terkena muka dan ditendang masuk dalam almari. Almari pecah dan jatuh atas badan saya.
“Memang sakit, tetapi di set bukan saya saja yang cedera semua pelakon juga alami kecederaan. Semua pelakon mahu beri yang terbaik, apa yang dibimbangkan adalah mencederakan pelakon lain secara tidak sengaja,” ujar Irfan.
Paling tidak boleh dilupakan Irfan sepanjang penggambaran filem Blood Brothers adalah babak pergaduhan yang agak panjang antaranya dengan Syafiq Kyle. Babak itu sahaja memerlukan mereka melakukan sehingga 38 ‘take’ demi hasil yang sempurna.
‘38 take’
“Pengarah sangat ‘perfectionist’, semua perkara tidak terlepas daripada pandangannya.
“Bukan mudah untuk hasilkan filem ini, oleh itu saya amat berterima kasih penonton yang memberi sokongan dan menonton di pawagam,” kata Irfan.
Meskipun watak Malik muncul tidak lama dalam filem aksi arahan Abhilash Chandra dan Syafiq Yusof itu, wataknya antara yang diingati dan memberi impak kepada penonton.
Kata Irfan, demi Malik, dia melakukan persediaan selama lima bulan sebelum memasuki set penggambaran.
Selain kelas lakonan, Irfan turut menjalani latihan seni mempertahankan diri dan juga aksi kerana Blood Brothers adalah filem aksi pertamanya.
“Selama enam tahun dalam industri perfileman tempatan, ini adalah karya paling besar dan filem aksi pertama yang saya lakonkan.
“Berbanding pelakon lain seperti Sharnaaz dan Syafiq Kyle mereka pernah melakonkan filem aksi, saya tiada pengalaman. Jadi, saya harus bekerja keras untuk memastikan peluang yang diberi pada saya diguna dengan baik,” katanya.
Impak
Disoal tentang impak watak Malik, Irfan yang pernah membintangi filem Tamil terkenal, Goat di sisi Vijay Thalapathy itu mengakui terkejut apabila kini lebih ramai peminat Melayu mengenalinya.
“Saya masuk ke pusat beli-belah sudah ada peminat Melayu yang mahu bergambar dan memanggil saya dengan nama Malik,” tutur Irfan yang sebelum ini lebih dikenali dalam industri lakonan Tamil tempatan.
Filem Blood Brothers: Bara Naga dibintangi oleh Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisyam, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson.
Filem yang menelan kos sebanyak RM7 juta itu kini sedang hangat ditayangkan di 170 pawagam seluruh negara.