JOHOR BAHRU – Tujuh lelaki dan seorang wanita dikenali sebagai ‘Bella’ yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes viral pukul seorang pemuda dibelasah beramai-ramai sehingga lunyai, akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, semua suspek yang berusia 19 hingga 26 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Esok pagi semua OKT (orang kena tahan) akan dituduh,” katanya ringkas memaklumkan perkembangan kes terbabit.
Terdahulu, semua suspek ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi, 21 April lalu ketika cuba melarikan diri dari Pangsapuri Plentong Baru Masai, Pasir Gudang di sini.
Mereka diberkas selepas disyaki terlibat memukul seorang pekerja kilang di Kluang sehingga separuh mati pada 18 April lalu sebelum video perbuatan kejam mereka tular di laman sosial. – KOSMO! ONLINE