SHAH ALAM- Seramai 2,368 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Selangor mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran diambil mereka.
Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr. Jafri Abu berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan
sebanyak 363 orang berbanding tahun 2023 iaitu seramai 2,005 calon.
“Seramai 73,799 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM tahun lalu. Bagaimanapun daripada jumlah itu, seramai 64,898 calon yang telah hadir dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.
“Apapun, terdapat peningkatan daripada segi jumlah yang hadir menduduki SPM tahun lalu dan kami akan terus berusaha supaya jumlah calon yang menduduki peperiksaan ini pada akan datang terus bertambah,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM tahun 2024 peringkat Selangor, hari ini.
Beliau menambah, , seramai 59,403 calon SPM tahun 2024 layak menerima sijil berbanding 58,082 calon yang menduduki SPM pada tahun sebelumnya.
Kata Jafri, sebanyak enam mata pelajaran teras yang menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dan empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan gred.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau gembira dengan pencapaian SPM yang diperoleh di negeri ini apabila semua daerah di Selangor mencatatkan angka purata Gred Purata Nasional (GPN) bawah daripada lima mata. -KOSMO! ONLINE.