ISTANBUL – Kira-kira 151 orang cedera selepas beberapa siri gempa bumi melanda kawasan berhampiran bandar raya terbesar Turkiye, Istanbul, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Beberapa buah bangunan di bandar raya itu turut bergoyang menyebabkan orang ramai meninggalkan apartmen masing-masing untuk menyelamatkan diri.
Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud itu berlaku pada pukul 12.49 tengah hari (waktu tempatan) di Laut Marmara sehingga mencetuskan panik di Istanbul.
Gegaran dirasai di wilayah jiran dan di bandar raya Izmir, kira-kira 550 kilometer di selatan Istanbul.
Terdapat juga beberapa gegaran susulan.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan besar, tetapi sebuah bangunan terbiar di daerah Fatih tengah telah runtuh.
Pegawai berkata, sekurang-kurangnya 151 orang sedang dirawat di hospital selepas terjun dari tempat tinggi akibat panik. – AGENSI