PUTRAJAYA- Seramai 14,179 daripada 402,918 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 11,713 pada 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan berkata, keputusan itu merupakan keputusan SPM terbaik direkodkan calon sejak syarat pensijilan dimulakan Kementerian Pendidikan (KPM) bermula 2013.
“Seramai 86,040 calon pula berjaya memperoleh Kepujian dengan dengan sekurang-kurangnya Gred C dalam semua mata pelajaran berbanding 83,112 calon pada SPM 2023.
“Selain itu, seramai 136,791 calon SPM 2024 pula lulus dengan sekurang-kurangnya Gred E dalam semua mata pelajaran berbanding 131,489 pada 2023,” katanya pada Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 di sini tadi.
Terdahulu, SPM 2024 yang berlangsung dari 2 Disember hingga 6 Februari lalu berjalan lancar dengan 402,918 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE