PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat di 10 negeri sehingga pukul 7 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, Kedah adalah antara negeri diramal terkesan melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Hujan lebat turut diramal di seluruh kawasan Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.
Katanya, cuaca sama dijangka berlaku di Kelantan iaitu Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai, manakala Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Di Perak, ribut petir dijangka melanda Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang.
“Bagi Pahang, diramal melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin
“Cuaca buruk itu turut melibatkan Johor di kawasan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” lapor MetMalaysia.
Ujarnya, cuaca sama dijangka berlaku di Sarawak melibatkan daerah Kapit (Belaga), Miri (Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi) dan Limbang manakala Sabah di Tawau (Lahad Datu).
Sementara itu, MetMalaysia akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia di Kampung Nelayan Kuala Kurau, Perak esok.
Menurut hantaran yang dilakukan oleh MetMalaysia di Facebook, pengujian tersebut akan dilaksanakan bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja.
“MetMalaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan.” katanya. – KOSMO! ONLINE