SUASANA Stadium Nasional Bukit Jalil tidak akan ‘sendu’ dengan puluhan ribu penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang akan membanjiri untuk menyaksikan aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),
Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan tiket perlawanan akhir itu sudah terjual hampir 60 peratus sejak dibuka kepada umum pada bulan lepas.
Kata Mohd Shazli, usaha berterusan menerusi ‘kempen’ final Piala Malaysia pelbagai platform memberi impak positif terhadap penjualan tiket bagi perlawanan itu.
“Penjualan tiket ada pergerakan positif daripada kedua-dua penyokong Sri Pahang dan JDT rentetan daripada hebahan yang kita buat sejak kebelakangan ini.
“Malah, kita juga turut mengadakan cabutan bertuah dengan menyedia tiga motorsikal, skuter elektrik dan juga gajet kepada pembeli tiket secara atas talian.
“Oleh itu, kita menjangkakan jualan tiket akan mencapai 80 peratus menerusi gerakan daripada pihak MFL, media dan platform media sosial,” katanya ketika ditemui Wisma FAM, hari ini.
Sebagai rekod, terdapat spekulasi menyatakan aksi final Sri Pahang dan JDT dijangka hambar kerana peminat sudah bosan dengan senario semasa bola sepak tanah air dengan menjangka juara sudah pasti menjadi milik JDT.
MFL telah memberikan 30,000 tiket kepada skuad Sri Pahang dan 30,000 buat skuad Harimau Selatan untuk dijual dalam venue SNBJ yang boleh memuatkan maksimum 80,000 penonton dalam satu-satu masa.
JDT memburu gelaran quadruple buat musim tiga berturut-turut selepas mendominasi Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA sebelum ini. – KOSMO! ONLINE