KOTA TINGGI – Seorang bapa tunggal tabah menguruskan anak bongsunya yang menghidap penyakit hydrocephalus sejak kecil selepas kehilangan isteri tercinta akibat komplikasi kencing manis sewaktu pandemik Covid-19.
Khairulnizam Ahmad, 40, berkata, pada awalnya anaknya, Nur Zhafirah Najwa, 7, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) akibat tidak cukup bulan selepas lahir pada usia kandungan 33 minggu.
Katanya, anak bongsu dari tiga beradik itu kemudian disahkan mengalami penyakit kepala membesar akibat jangkitan kuman ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Kepalanya semakin membesar disebabkan cecair dalam kepala tidak dapat dialirkan keluar secara normal.
“Pada usia lima bulan, doktor memasang tiub ‘shunt’ yang dialirkan dari kepala ke perut untuk mengurangkan tekanan air,” katanya ketika ditemui sempena ziarah kepimpinan Felda Air Tawar 2 di Felda Air Tawar 2 di sini baru-baru ini.
Menurut Khairulnizam, anaknya juga kerap mengalami sawan, terutama ketika tidur, menyebabkan dia perlu sentiasa berjaga malam.
“Kalau dia sawan ketika tidur dan saya tak perasan, ia boleh membahayakan nyawa anak,” katanya lagi.
Bekerja sendiri sebagai pemandu lori sawit, Khairulnizam mengakui pendapatannya tidak menentu selain perlu menjaga ibunya yang tidak sihat yang kadangkala perlu bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam 01069027817631 atas nama Khairulnizam Ahmad.