JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia mengundang kecaman ramai kerana sanggup berpura-pura menunaikan solat untuk mencuri tabung surau di sebuah pusat beli-belah, lapor portal berita Detik Sumsel semalam.
Kejadian berlaku di Pusat Beli-belah ITC Cempaka Putih, Jakarta baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang disiarkan di platform Instagram menunjukkan wanita itu sedang menunaikan solat ketika seorang jemaah mengemaskan tudungnya di hadapan cermin.
Selepas jemaah itu meninggalkan surau, wanita tersebut dengan segera menghentikan ‘solat’ dan membuka telekungnya.
Dia kemudian bergegas ke ruangan tabung dan mengambil wang di dalamnya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 80,300 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
“Pelakon terhebat,” kata seorang netizen. – AGENSI