KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan dana zakat berjumlah RM57.0 Juta dalam usaha membantu melahirkan lebih ramai usahawan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya berkata, bantuan tersebut bukan sahaja disalurkan kepada golongan asnaf, tetapi juga kepada pekerja mahir, separa mahir, teknologis dalam bidang minyak dan gas serta automotif.
Malah tambah beliau, peruntukan itu juga akan disalurkan untuk program kerohanian dalam memperkukuhkan jati diri dikalangan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.
“Saya berharap agar lebih ramai lagi pembayar zakat lahir dari asnaf yang telah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan mempunyai kesedaran membayar zakat sebagai satu keutamaan dalam menjalankan perniagaan pada masa akan datang.
“MAIWP percaya bahawa membina usahawan bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga membimbing, memantau dan menghubungkan usahawan dengan peluang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Usahawan MAIWP di Menara MAIWP di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, sepanjang tahun 2024 Bahagian Pembangunan Asnaf telah melaksanakan 20 program pembangunan usahawan dengan penglibatan seramai 1,320 orang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM11.3 juta.
Selain itu katanya, MAIWP juga telah menyalurkan insentif modal perniagaan kepada 465 orang usahawan dengan jumlah perbelanjaan kira-kira RM1.03 juta.
“Hasil daripada program pembangunan usahawan, sukacita saya mengumumkan seramai 40 orang usahawan MAIWP yang telah membayar zakat melebihi RM500 bagi tahun lalu.
“Jumlah keseluruhan kutipan bayaran zakat sebanyak RM66,051. Pembayar zakat tertinggi usahawan MAIWP adalah sebanyak RM11,241.00 iaitu Marliza Mohd Yunus yang juga pemilik syarikat katering Tijara Kitchen,” katanya.
Sementara itu, Marliza, 49, berkata, dia bersyukur dapat menjadi sebahagian pembayar zakat kepada MAIWP untuk tahun ketiga.
“Dengan bantuan MAIWP semasa perniagaan saya terumbang-ambing semasa pandemik Covid-19 lalu, kini saya bukan saya mampu membayar zakat, tetapi juga menggajikan lebih 10 pekerja.
“Terima kasih juga kepada MAIWP yang turut memberi kepercayaan kepada saya untuk membekalkan kira-kira 300 makanan berbungkus setiap minggu kepada golongan asnaf dan tadika di sekitar Bandar Tun Razak dan Cheras,” katanya. – KOSMO! ONLINE