SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan sebanyak RM2 bilion kutipan zakat pada tahun 2030.
Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, sasaran itu selaras dengan pencapaian membanggakan LZS selama tiga tahun berturut-turut melebihi RM1 bilion.
Katanya, paras kutipan terbaharu mampu dicapai dengan kesungguhan LZS menyantuni semua pembayar zakat sama ada perniagaan atau pendapatan serta yang belum melakukan kewajipan berkenaan.
“Saya melihat trend pembayaran dan kutipan zakat sentiasa meningkat termasuk ketika negara menghadapi Covid-19 sebelum ini.
“Kepercayaan pembayar zakat kepada LZS menjadi pendorong utama kepada sasaran baharu dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2024 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari di Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini.
Jelas Syed Anwar, agensi itu turut optimis memperoleh kutipan RM1.328 juta pada tahun ini.
“Saya tengok kalau orang percaya kepada LZS, orang akan bayar zakat. Apa yang mustahak adalah agihan diberikan kepada lapan kategori asnaf dengan tepat.
“Ini semua melibatkan integriti dan amanah yang menjadi tunjang utama LZS sepanjang penubuhannya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE