fbpx

LZS catat kutipan RM1.22 bilion tertinggi dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Anwar (kiri) dan Mohd. Khaidzir memegang buku laporan kelestarian LZS 2024 bersama paparan maklumat pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat LZS 2024. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah penubuhan sejak 1994 apabila mencecah RM1.22 bilion bagi kewangan berakhir Disember tahun lalu.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut bagi LZS melepasi paras kutipan dan agihan zakat melebihi RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, pencapaian kutipan menunjukkan peningkatan sembilan peratus berbanding RM1.12 bilion direkodkan pada tahun 2023.

Katanya, ini membuktikan kepercayaan berterusan lebih 380,000 pembayar zakat kepada LZS.

“Ini seterusnya menunjukkan iltizam LZS dalam mengurus dana zakat secara berintegriti dan berimpak.

“Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih bermakna adalah ia berlaku di tengah-tengah cabaran ekonomi yang sedang dihadapi oleh ramai pihak terutama golongan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat bagi tahun 2024 yang turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di sini hari ini.

Menurut beliau, zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang utama dengan RM712 juta atau 58 peratus daripada keseluruhan kutipan.

Tambahnya, potongan gaji terus menjadi saluran pembayaran tertinggi dengan kutipan RM546 juta.

“Jenis zakat lain termasuklah zakat perniagaan dengan kutipan RM199 juta, zakat simpanan (RM130 juta), zakat harta (RM70 juta) dan zakat fitrah (RM41 juta).

“Kutipan zakat melalui saluran Direct Debit mencatatkan pertumbuhan tertinggi antara semua saluran kutipan dengan peningkatan 60 peratus tahun ke tahun yang berjumlah RM1.4 juta seterusnya menggambarkan kesediaan pembayar zakat untuk beralih kepada kaedah lebih konsisten dan mudah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Khaidzir, sebanyak RM1.19 bilion telah disalurkan sepanjang tahun lalu kepada lapan asnaf dengan peningkatan tiga peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM1.15 bilion.

“Daripada jumlah ini, kategori asnaf fakir dan miskin menerima agihan tertinggi berjumlah RM707 juta iaitu 60 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan zakat.

“Ini melibatkan lebih 77,800 keluarga fakir dan miskin sepanjang tahun lalu dengan peningkatan sebanyak RM19 peratus berbanding tahun 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI