LEVERKUSEN – Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso mempunyai gentleman agreement dengan kelab tersebut yang membolehkannya meninggalkan pasukan sekiranya menerima tawaran daripada bekas kelab yang pernah diwakilinya sebagai pemain.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Leverkusen, Fernando Carro ketika diminta mengulas tentang masa depan Alonso yang dikaitkan dengan Real Madrid dan Liverpool.
“Sejak awal, kami tahu Xabi ada potensi besar sebagai jurulatih. Kontrak asalnya hanya hingga 2024, kemudian kami lanjutkan hingga 2026.
“Tapi, kami juga bersikap realistik. Jika salah satu bekas kelabnya datang dengan tawaran, kami akan duduk dan berbincang secara profesional,” kata Carro.
Alonso pernah beraksi untuk Real Sociedad, Liverpool, Real Madrid, Bayern Munich dan Eibar (pinjaman) dalam karier profesionalnya dan turut memenangi trofi utama bersama hampir semua kelab tersebut.
Spekulasi semakin hangat apabila Real dikatakan sedang mempertimbangkan pengganti Carlo Ancelotti menjelang musim panas ini, selepas prestasi hambar dalam LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah, namun Carro menegaskan pihak kelab tidak gusar.
“Kami masih yakin dia akan kekal. Kami boleh tidur lena, menikmati sarapan dan bersedia untuk apa sahaja,” ujarnya.
Alonso mengambil alih Leverkusen pada Oktober 2022 ketika pasukan bergelut di tangga ke-17 Bundesliga, tetapi berjaya membawa mereka muncul juara liga tanpa kalah musim lalu iaitu pencapaian yang mencetuskan revolusi baharu di kelab itu. – AGENSI