SUBANG JAYA – Seorang lelaki putus lima jari selepas diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang dan pedang dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan PJS 11/2, Bandar Sunway, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.54 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun bersama beberapa rakan baru sahaja selesai makan dan sedang bersiap untuk pulang sebelum didatangi sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih yang dinaiki lima suspek tidak dikenali.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, kesemua suspek yang memakai penutup muka keluar dari kenderaan lalu menyerang mangsa dan rakan-rakannya tanpa sebarang amaran.
“Mangsa tidak sempat melarikan diri ditetak dengan parang dan pedang hingga mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan badan selain lima jarinya di tangan kiri putus.
“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki semula kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Wan Azlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamain di talian 019-8582166. – KOSMO! ONLINE