fbpx

Kolam takungan pecah didakwa terbengkalai sejak Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja pembaikan sedang dijalankan susulan benteng kolam takungan pecah di Taman Seri Alam, Saujana Utama, hari ini.

SUNGAI BULOH – Kerja pembaikan benteng takungan Taman Seri Alam, Saujana Utama, di sini yang pecah Disember tahun lalu didakwa terbengkalai sejak Januari dan hanya disambung semula hari ini selepas insiden sama berulang.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati, kelihatan beberapa orang kontraktor dan sebuah jentera yang berada di lokasi kejadian sedang melakukan kerja pembaikan.

Sehubungan itu, rata-rata penduduk meluahkan kekecewaan apabila usaha membaik pulih struktur benteng itu tidak disegerakan mengakibatkan benteng itu pecah sekali lagi, hari ini.

Penduduk, Muhamad Ahmal Abdul Ghani, 39, berkata, kediamannya yang terletak 10 meter daripada kolam takungan tersebut terkesan teruk akibat limpahan air.

“Paling mengecewakan, kerja terakhir dibuat pada Januari. Selepas itu, senyap saja dan baru hari ini nampak jentolak datang sambung balik kerja.

“Malangnya, kerja ini disambung semula hanya selepas rumah kami dimasuki air semula,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Katanya, limpahan air deras pada pukul 6 pagi itu telah menghanyutkan barangan yang berada di luar rumah selain menyebabkan kerosakan pada kediamannya.

Sementara itu, Surain Husain, 33, turut kesal dengan kelewatan pihak berwajib melaksanakan projek tersebut walaupun sudah beberapa kali diminta untuk dipercepatkan.

“Tiba-tiba pukul 6 pagi tadi, jiran ketuk pagar rumah beritahu benteng takungan pecah. Saya keluar tengok air sudah penuh di pekarangan rumah.

“Setiap kali hujan, kami hidup dalam kebimbangan. Tak tahu bila benteng ini akan betul-betul siap. Kami tak mampu hadapi kerosakan lagi,” ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan benteng kolam takungan air di taman berkenaan pecah awal pagi tadi yang menjejaskan sebanyak 35 buah rumah.

Untuk rekod, ini merupakan kali ketiga benteng kolam takungan itu pecah selepas kejadian pertama pada 2014 dan pada 29 Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI