BANGKOK – Seorang wanita hamil di Bangkok membelasah perempuan simpanan suaminya hingga mati selepas mengekori kedua-dua mereka ke sebuah resort, lapor laman berita MS News semalam.
Dalam satu rakaman video tular, mangsa terbaring di pekarangan resort tersebut selepas pergaduhan antara mereka tercetus Ahad lalu.
Si isteri yang hamil tujuh bulan dan seorang lagi wanita didakwa mengheret mayat mangsa yang tidak sedarkan diri ke dalam sebuah bilik.
Seorang lelaki dipercayai suaminya kemudian menghantar mangsa ke hospital berdekatan sebelum dia disahkan meninggal dunia, lapor laman berita Thairath.
Seorang kakitangan memberitahu polis bahawa si suami dan teman wanitanya tiba di resort itu pada malam sebelum kejadian.
Polis tempatan berkata, si isteri telah ditahan dan didakwa melakukan serangan sehingga menyebabkan kematian. – AGENSI