PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian bagi menangani isu berbangkit termasuk harga barangan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penubuhan jawatankuasa teknikal itu bertujuan memperkasa dan menstruktur kerjasama merentasi kementerian yang digerakkan secara ad hoc sebelum ini pada musim perayaan.
Menurut beliau, jawatankuasa itu juga menambah baik kerjasama ad hoc kepada gerak kerja lebih strategik dan akan berterusan melalui mesyuarat dan pelaporan secara berkala selepas ini.
“Susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu, Kabinet telah mempersetujui syor daripada KPDN untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian.
“Jawatankuasa teknikal itu akan melibatkan kerjasama rasmi merentasi kementerian dan turut melibatkan industri yang akan bermesyuarat secara berkala dan juga ada pelaporan.
“Jawatankuasa ini juga akan berperanan sebagai mekanisme amaran awal (early warning sysytem) bagi memastikan isu-isu berkaitan harga dan bekalan dapat ditangani secara cekap dan berkesan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, jawatankuasa teknikal itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar serta turut dianggotai wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) agensi dan industri berkaitan. – KOSMO! ONLINE