PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menahan seramai 22 warga asing warga Bangladesh dan India dalam serbuan di kilang kitar semula atas beberapa kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan itu dijalankan semalam di tiga lokasi sekitar Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis kilang dan berjaya menahan seramai 18 lelaki India dan empat lelaki Bangladesh.
“Kesemua warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 48 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelasnya, semakan awal mendapati, 12 lelaki warga India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku sementara tiga lelaki India memiliki PLKS yang tamat tempoh.
“Dua lelaki warga Bangladesh memiliki PLKS yang tamat tempoh dan dua lelaki India memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang tamat tempoh.
“Manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” jelasnya.
Katanya, modus operandi kilang itu ialah memproses barang lusuh peralatan elektronik, kabel dan wayar yang diperolehi daripada pelbagai negara bagi mendapatkan tembaga serta aluminium.
“Kilang itu juga disyaki menggajikan warga asing dengan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain menyediakan
tempat tinggal di dalam kilang yang gagal diperakui bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990,” jelasnya.
Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, seramai lima lelaki tempatan dan dua lelaki warga India yang bekerja di kilang diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE