MELAKA – Seorang imam warga Thailand direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes liwat dan cabul melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun sejak tiga tahun lalu.
Perintah reman sehingga 29 April itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani ke atas suspek berusia 28 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Menurut sumber, laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa berusia 35 tahun selepas wanita itu dihubungi anaknya pada 14 April lalu.
Katanya, mangsa memaklumkan dia mahu pulang dan tinggal bersama ibunya di Kuala Lumpur kerana tidak tahan menjadi mangsa seksual guru agama sejak tiga tahun lalu.
“Kejadian terbongkar apabila mangsa menceritakan dia menjadi mangsa cabul dan liwat guru agama yang juga imam sejak berusia 10 tahun sehingga dibawa berpindah ke sebuah masjid di Bukit Rambai, Melaka tahun lalu.
“Mangsa mendakwa kejadian pertama berlaku pada waktu malam, Ogos 2022 dalam kelas akademi al-Quran di Perak ketika kanak-kanak itu mengikuti pengajian di sana,” katanya.
Jelasnya, bagaimanapun sejak tahun lalu, suspek secara rahsia membawa mangsa tinggal bersamanya di Bukit Rambai kononnya untuk meneruskan pengajian di masjid berkenaan tanpa pengetahuan ibunya.
“Bagaimanapun tiada sebarang pengajian dilakukan sebaliknya suspek tinggal berdua dengan mangsa di dalam bilik di masjid berkenaan. Suspek juga ditugaskan sebagai imam di masjid sama.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa mendakwa kerap menjadi mangsa pemuas nafsu songsang suspek. Mangsa juga diugut agar tidak menceritakan perbuatan terkutuk suspek itu kepada sesiapa,” katanya.
Sumber memberitahu, selepas dibawa tinggal bersama ibunya, suspek sering menghubungi mangsa melalui WhatsApp dan memujuk kanak-kanak itu untuk tinggal bersamanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan penahanan suspek tersebut. – KOSMO! ONLINE