SHAH ALAM – Proses siasatan insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini berdepan kesulitan susulan cuaca tidak menentu termasuk hujan hampir setiap hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, agensi berkaitan telah melakukan pengorekan tanah di lokasi itu sehingga menimbulkan paip terlibat di lokasi kejadian.
Katanya, sebahagian spesimen telah diambil oleh agensi tindak balas dan masih menunggu satu lagi serpihan terpaling bawah.
“Walaupun jangkaan laporan siasatan boleh keluar lebih awal tetapi kini terganggu oleh keadaan cuaca tidak menentu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Justeru itu, kata beliau, berkemungkinan besar satu lawatan media akan dianjurkan ke lokasi tersebut pada minggu depan.
“Ini supaya media dapat melihat sendiri kerja-kerja dilakukan pasukan tindak balas dengan kesukaran dialami secara kompleksnya terhadap siasatan di tempat itu,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan laporan awal siasatan kejadian itu akan diperoleh pada minggu ini.
Siasatan sebelum ini menjurus kepada dari segi kecuaian dan khianat manakala satu lagi disiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). – KOSMO! ONLINE