LONDON – Bintang Chelsea, Mykhailo Mudryk berjaya melepasi ujian poligraf (pengesan penipuan) untuk membersihkan namanya selepas digantung akibat isu doping hujung tahun lalu dan kali terakhir beraksi pada November lalu.
Mudryk sedang menjalani penggantungan sementara setelah diuji positif menggunakan bahan terlarang jenis Meldonium menyebabkan berdepan hukuman selama empat tahun jika didapati bersalah.
Pemain berusia 24 tahun itu, meluahkan rasa kecewa dan sedih dan percaya bahawa situasi yang dihadapi ketika ini mampu membunuh masa depannya sebagai pemain bola sepak profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif Shakhtar Donetsk, Sergei Palkin mendedahkan, Mudryk sehingga kini masih tidak percaya dengan tuduhan yang dihadapi dan tidak mempunyai jawapan bagaimana bahan tersebut berada dalam badannya.
“Saya bercakap dengan Mudryk banyak kali selepas isu ini timbul. Dia tidak ada idea mengenai cara bahan tersebut berada dalam badannya.
“Jadi, peguamnya cuba menggunakan teknologi poligraf berkenaan dan dia berjaya melepasi ujian tersebut. Ia akan menjadi satu bukti bahawa dia tidak mempunyai niat melakukan sesuatu yang melanggar peraturan.
“Secara jelas menunjukkan bahawa Mudryk tidak bersalah walaupun ujian menunjukkan sebaliknya. Sekarang kami perlu mencari punca perkara ini berlaku dan siapa yang melakukannya,” katanya.
Situasi yang dihadapi Mudryk memberi kesan kepada Shakhtar apabila perjanjian perpindahan sebelum ini menyebut bahawa kelab dari Ukraine ini mampu meraih bonus tambahan berdasarkan prestasi dipamerkan pemain itu.
“Jika dia tidak bermain, ia memberikan kami masalah apabila Shakhtar berpotensi kehilangan wang bonus sehingga €30 juta (RM150.83 juta). Kami berharap Mudryk akan segera bebas daripada tuduhan ini dan kembali beraksi,” katanya. – AGENSI