SHAH ALAM – Kelicikan tiga penjenayah yang melakukan samun berparang di sebuah taska di Tali Air 11, Sabak Bernam dekat sini berakhirnya apabila dua daripadanya ditangkap, semalam.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 30an itu dilakukan di sekitar Kelana Jaya dan Shah Alam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut merampas kenderaan Perodua Bezza yang dipercayai digunakan mereka semasa kejadian itu.
Katanya, semakan turut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Sungai Way, Petaling Jaya.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sebilah parang sepanjang 72 sentimeter dalam kereta itu.
“Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam kes itu dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menegaskan, kedua-dua suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan samun dan dadah.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang guru wanita melalui pengalaman perit apabila bukan sahaja disamun, malah ditampar penjenayah sebanyak dua kali dalam kejadian di sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang, Sabak Bernam di sini, kelmarin.
Kejadian pada pukul 9.35 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama seorang lagi guru wanita dan pembantu dapur menunggu kehadiran kanak-kanak.
Tiga suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan bersenjatakan parang berhenti dan meluru masuk ke dalam premis berkenaan.
Dalam kejadian itu, suspek warga tempatan melarikan dua utas rantai emas dan telefon bimbit milik mangsa. – KOSMO! ONLINE