fbpx

‘Dengar bunyi bising sebelum air melimpah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAWASAN tadahan air di Taman Seri Alam, Kuala Selangor yang pecah sehingga menjejaskan rumah penduduk semalam.

KUALA SELANGOR – Hujan le­bat lebih tiga jam bermula pukul 3 pagi semalam menyebabkan kolam tadahan air Taman Seri Alam, Bandar Saujana Utama di sini, pecah buat kali ketiga dan mengakibatkan puluhan rumah penduduk terjejas.

Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu menyebabkan lebih 35 buah kediaman dimasuki air setinggi 0.3 meter dan mengakibatkan penduduk mengalami kerugian ekoran beberapa barangan rumah rosak akibat banjir.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Ismail Idris berkata, pihak pemaju telah memasang beberapa bongkah besi (sheet pile) dan beg pasir (sand back barrier) sebagai penahan sementara kepada kolam tadahan tersebut selepas kejadian pada 29 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, kuantiti air hujan yang banyak menyebabkan kolam tadahan air itu pecah selepas tidak mampu lagi menampung jumlah air yang banyak.

“Pagi tadi (semalam) hujan dari pukul 3 hingga 6.30 pagi tanpa henti dan penduduk menyedari kolam berkenaan pecah kira-kira pukul 6 pagi.

“Air memang laju keluar dari kolam dan ada rumah penduduk yang dimasuki air di bahagian dapur sehingga paras buku lali. Namun, kebanyakan rumah air masuk hingga ke kawasan tempat parkir kereta sahaja,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian pada 29 Disember lalu, pihak pemaju telah memasang beberapa bongkah besi dan beg pasir sebagai penahan sementara kepada kolam tadahan tersebut.

Seorang penduduk, Muhamad Akmal Abdul Ghani, 39, berkata, dia terdengar bunyi aliran air yang kuat dari kawasan takungan air yang terletak 20 meter ketika hendak solat subuh bersama isteri.

“Lepas solat subuh, saya terus keluar rumah dan dapati air sudah masuk ke pekarangan rumah selain dapur sehingga ke paras buku lali.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus alihkan dua buah motosikal dan sebuah kereta yang diletakkan di pekarangan rumah ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.

Dia yang menetap di kawasan itu sejak 2011 berkata, sudah tiga kali kolam tersebut pecah, yang mana kali pertama berlaku pada tahun 2015.

“Selepas kejadian pecah pada 29 Disember lalu, syarikat pemaju ada membaiki kolam tersebut. Selepas itu, mereka hanya memasang beberapa bongkah besi dan beg pasir pada bahagian yang pecah.

“Kejadian hari ini (semalam) membuktikan apa yang mereka pasang sebelum ini tidak berkesan.

“Saya harap syarikat pemaju itu segera baiki atau membina semula kolam berkenaan,” katanya yang kerugian hampir RM10,000 akibat kejadian semalam.

Dalam pada itu, kerja pembaikan benteng takungan kolam Taman Seri Alam yang pecah Di­sember tahun lalu didakwa terbengkalai sejak Januari dan hanya disambung semula semalam selepas insiden sama berulang.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati, kelihatan beberapa orang kontraktor dan sebuah jentera yang berada di lokasi kejadian sedang melakukan kerja pembaikan.

Sehubungan itu, rata-rata penduduk meluahkan kekecewaan apabila usaha membaik pulih struktur benteng itu tidak disegerakan mengakibatkan benteng itu pecah sekali lagi.

Penduduk, Muhamad Ahmal Abdul Ghani, 39, mendakwa, kediamannya yang terletak 10 meter daripada kolam takungan tersebut terkesan teruk akibat limpahan air.

“Paling mengecewakan, kerja terakhir dibuat pada Januari. Selepas itu, senyap saja dan baru hari ini nampak jentolak datang sambung balik kerja.

“Malangnya, kerja ini disambung semula hanya selepas rumah kami dimasuki air semula,” katanya ketika ditemui semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI