SHAH ALAM – Terima tawaran daripada sindiket along Singapura dengan bayaran sehingga RM1,500 bagi lakukan khianat api dan simbah cat.
Itu modus operandi berjaya dibongkar susulan penahanan tiga suspek termasuk sepasang suami isteri berusia 20 dan 22 tahun dalam operasi khas di Kepong dan Bukit Jalil antara 8 dan 9 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek susulan laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun yang tinggal di Ampang menyatakan rumahnya telah dibakar akibat dibaling bom petrol (molotov cocktail).
Katanya, siasatan terhadap kedua-dua suspek mendapati tawaran along dari Singapura itu dibuat melalui media sosial.
“Mereka mendapat upah antara RM1,000 hingga RM1,500 sekiranya melakukan khianat dengan api.
Manakala, khianat simbah cat dapat antara RM600 hingga RM900.
“Dua suspek lelaki juga menawarkan job ini kepada individu lain menerusi Facebook dan sebagainya dengan bayaran RM500 hingga RM800 bagi khianat dengan api dan upah RM300 hingga RM350 untuk simbah cat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau memberitahu, suspek wanita pula berperanan merakam video dan mengambil gambar sewaktu kejadian khianat dilakukan sebelum dihantar untuk tuntutan upah daripada pihak yang mengupah mereka.
Tambahnya, semakan mendapati kumpulan ini telah melakukan sembilan kes khianat iaitu empat di Selangor, Perak dan Johor dengan dua kes dan satu di Negeri Sembilan.
“Siasatan masih dijalankan termasuk bagi mengetahui sama ada mereka ini ada meminjam daripada along selain mengenalpasti suspek-suspek lain dan sindiket along dari Singapura itu.
“Semakan mendapati ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod lampau,” ujarnya.
Jelas Hussein, dua suspek lelaki masih direman selama enam hari manakala suspek wanita telah diberikan ikat jamin polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE