fbpx

Buat laporan palsu jadi mangsa samun elak didenda hilang MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis daerah Timur Laut mendedahkan menerima lima laporan palsu dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu daripada pengadu gara-gara mengelak dikenakan denda atas kehilangan kad pengenalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya berjaya mengesan taktik memalsukan laporan polis dengan menggunakan alasan menjadi mangsa samun.

“Hasil siasatan lanjut ke atas lima laporan yang diterima sepanjang tempoh tersebut mendapati kejadian samun itu disahkan palsu dan tidak berlaku.

“Alasan laporan polis palsu yang dibuat pengadu masing-masing adalah bagi mengelak dikenakan denda untuk memperbaharui kad pengenalan yang hilang atas kecuaian sendiri,” katanya di sini petang ini.

Jelas beliau, polis memandang serius trend yang disifatkan sebagai tidak sihat dan meminta orang ramai mengelak daripada membuat sebarang laporan palsu.

“Membuat laporan polis palsu merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang buruh tergamak membuat laporan polis palsu kononnya disamun kelmarin gara-gara takut didenda kerana kehilangan MyKad buat kali ketiga.

Helah lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari Marang, Terengganu itu terbongkar apabila siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.04 petang, Isnin lalu sebenarnya palsu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI