fbpx

Boleh mansuh pencen tetapi faedah jangan kurang – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan (kanan) beramah-mesra dengan sebahagian penjawat awam pada majlis Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Terengganu di Chendering, Kuala Terenggganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akur sekiranya skim pencen terpaksa dimansuhkan asalkan pembaharuan bakal diperkenalkan kelak tidak menggugat faedah sedang dinikmati penjawat awam kini.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, pihaknya menaruh keyakinan skim baharu yang sedang dirangka kerajaan itu bersesuaian dengan kumpulan kerja generasi baharu perkhidmatan awam.

“Kita (Cuepacs) telah dimaklumkan sejak 20 Jun 2023 lagi (bahawa) Jawatankuasa Kabinet memutuskan tiada lagi skim pencen.

“Cuepacs tiada masalah jika kerajaan ingin mencadangkan skim menggantikan pencen tetapi hendaklah berlandaskan prinsip faedah diterima kelak tidak kurang daripada diterima hari ini,” katanya pada majlis Syawal Ceria Madani anjuran Cuepacs Terengganu di sini hari ini.

Adnan mengakui pada mulanya, Cuepacs menolak cadangan penggantian skim pencen, tetapi akhirnya memahami rasional cadangan kerajaan tersebut selepas dibentangkan kedudukan kewangan negara oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merayu pertimbangan kerajaan agar membatalkan hasrat menyerap 18,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang kini berstatus kontrak untuk perkhidmatan kepada skim pekerjaan jangka pendek (MyStep).

“Tawaran penukaran kepada skim MyStep ini ibarat ‘turun darjat’ kerana faedah perkhidmatannya jauh lebih rendah berbanding status kontrak untuk perkhidmatan sedang dinikmati.

“PPH ini sudah banyak membantu KPDN sejak 18 tahun lalu. Kerajaan dirayu beri pertimbangan ihsan sekurang-kurangnya menaikkan mereka untuk status kontrak dalam perkhidmatan yang lebih menjamin kebajikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI