JOHOR BAHRU – Polis tidak menolak kemungkinan wanita yang dikenali sebagai Bella dijadikan sebagai umpan untuk memancing mangsa terutamanya kenalan dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan awal ke atas kesemua lapan individu yang terkait dengan kes pukul seorang pemuda secara beramai-ramai itu mendapati bermotifkan ugutan dan mendapatkan wang.
“Siasatan terperinci masih dijalankan.
“Motif dipercayai mengambil kesempatan untuk mengugut mangsa bagi mendapatkan wang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam berjaya memberkas tujuh lelaki dan seorang wanita di kawasan Perumahan Pangsapuri Plentong Baru, Masai, Pasir Gudang di sini, kira-kira 2.30 pagi kelmarin.
Kesemua suspek diberkas ketika cuba melarikan diri selepas kegiatan jahat mereka membelasah lunyai pemuda dikenali sebagai Faris separuh mati tular di laman sosial.
Suspek yang berusia 19 hingga 26 tahun direman 21 hingga 26 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurung secara salah dan Seksyen 385 kanun yang sama kerana melakukan pemerasan.
Mereka turut berdepan dengan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Dalam pada itu, mangsa tampil menceritakan kejadian ketika ditemu bual penyanyi rap, Caprice berkata, gadis yang dikenali sebagai Bella mengajaknya untuk menemaninya tidur di kediaman wanita itu kerana mendakwa dirinya tidak sihat.
Bagaimanapun, selepas memasuki rumah sewa, mangsa ditumbuk, ditendang selain dipukul menggunakan senjata sebelum mangsa diugut supaya memberikan wang RM3,000.
Mangsa yang tidak mampu melawan hanya menyerahkan wang tunai RM600 serta motosikal Yamaha Y16ZR ‘dirampas’ suspek.
Akibat kejadian itu, lelaki berasal dari Kluang itu mengalami kecederaan dan menerima tiga jahitan pada bibir serta enam jahitan di telinga kiri selain bengkak badan. – KOSMO! ONLINE